Peluang Kedua Untuk Yang Insaf

Dalam tempoh sebulan ini, saya telah bertemu dengan ahli keluarga dan sahabat Yong Vui Kong.  Saya berbual dengan abangnya, malah saya menatapi warkah yang ditulis oleh Yong kepada keluarga dan sahabatnya.  Saya semakin yakin, bahawa saya perlu melakukan sesuatu untuk remaja berusia 22 tahun yang dijatuhkan hukuman mati ini – meskipun saya tidak mengenalinya sebelum ini.

Yong Vui Kong ditangkap kerana mengedar dadah pada usia 18 tahun.  Saya tidak berani untuk berkata Yong tidak berdosa, tetapi apa yang saya pasti, Yong seorang yang jahil.  Pada ketika itu, Yong membenci nasib yang menimpa dirinya.  Soalan yang berlegar dalam hatinya berbunyi, mengapa dirinya tidak memiliki satu keluarga yang bahagia, seperti anak-anak yang lain?

Yong mengasihi ibunya, yang jatuh sakit.  Selepas menyambut hari jadi untuk ibunya tiga tahun yang lalu, Yong meninggalkan rumahnya.  Dengan jujur Yong mengakui bahawa dirinya membawa dadah, tetapi tidak mengetahui sejauh manakah bahayanya.

Kejahilan sebagai alasan?

Sememangnya, ada yang akan mempertikaikan, apakah kejahilan boleh dijadikan alasan untuk membebaskan diri dari tanggungjawab?

Tidak, keadaannya bukan begini.  Yong telah mengakui kesalahannya dalam mahkamah.  Pada peringkat awal perbicaraan, Yong pernah dengan naifnya meminta peguamnya untuk mengubah keterangannya dan terus mengakui kesalahan.  Namun demikian, seandainya beliau disabitkan kesalahan, maka Yong akan berdepan dengan hukuman mati mandatori.  Hakim yang membicarakan kes ini tidak mempunyai pilihan lain, dan gagal meringankan hukumannya dengan pertimbangan faktor lain.  Oleh itu, Yong tidak boleh mengaku kesalahan, untuk memberi laluan agar proses keseluruhan perbicaraan ini boleh dilengkapkan.

Menurut Peguam Yong Vui Kong, Ravi (gambar kanan), hakim yang membicarakan kes ini pada peringkat awal, Choo Han Teck turut menganggap Yong terlalu naif, dan terlalu muda – sehingga tidak sampai hati untuk menjatuhkan hukuman mati.  Choo mencadangkan pendakwaraya untuk meminda tuduhan tersebut, tetapi tidak diterima.

Mengikut kebiasaan, tertuduh yang disabit dengan tuduhan yang membawa hukuman mati biasanya akan merayu ke peringkat akhir.  Namun demikian, Yong telah meminta agar peguamnya berhenti merayu kerana salah tanggapannya bahawa rayuan bermakna menafikan tuduhan.  Yong mahu memikul tanggungjawab undang-undangnya, sanggup mati kerana enggan berbohong.

Pesalah hukuman mati pertama yang berhenti merayu

Setakat pengetahuan saya, Yong mungkin tertuduh pertama (dalam tuduhan yang membabitkan hukuman mati) yang memutuskan untuk tidak merayu lagi.  Yong hanya bersetuju untuk meneruskan rayuan selepas mendengar penjelasan Ravi.  Namun demikian, rayuan Yong berakhir dengan kegagalan.

Peluang terakhir Yong adalah pengampunan Presiden Singapura.  Antara faktor yang dipertimbangkan termasuklah usia, latar belakang, tindakan, keinsafan pesalah dan sebagainya.  Proses pengampunan wujud kerana menyedari bahawa undang-undang sahaja gagal mempertimbangkan kompleksiti setiap individu, lebih-lebih lagi tiada jalan patah balik untuk hukuman mati.  Maka proses pengampunan ini sekurang-kurangnya memperuntukkan ruang untuk pertimbangan di atas.

Namun, sebagaimana yang kita tahu, Menteri Perundangan Singapura, K Shanmugam telah menyatakan pendiriannya terlebih dahulu, berbunyi “Yong Vui Kong (yang dijatuhkan hukuman mati kerana mengedar 47 gram heroin) sangat muda.  Tetapi, seandainya kami melepaskan anda (Yong), apakah mesej yang kami sampaikan?”

Maksudnya, Yong Vui Kong mesti mati untuk memberi kesan “menghalang” dan “menakut-nakutkan”, agar tiada lagi Yong Vui Kong kedua.  Pada hakikatnya, berapa orang yang telah dihukum mati sebelum ini?  Namun apakah dengan ini ia berjaya menghalang Yong Vui Kong untuk menyusur lorong ini?  Maka kita mahu mengajukan persoalan, apakah mayat lebih berkesan daripada insan yang hidup untuk memupuk kesedaran anti dadah?

Lebih penting, kenyataan Menteri ini telah menafikan hak Yong untuk memohon pengampunan daripada Presiden, lantas bercanggah dengan perlembagaan, dan melanggar prinsip keadilan (natural justice).  Kami tidak mempertikaikan kuasa Presiden Singapura untuk mengampunkan atau tidak, apa yang dipertikaikan adalah sama ada ia selari dengan perlembagaan apabila keputusan dibuat (kenyataan Menteri Perundangan) sebelum pertimbangan?  Mengapa peluang Yong untuk mendapatkan pengampunan dinafikan secara tergesa-gesa?

Anutan agama dan penginsafan

Selain faktor perundangan, saya terpanggil untuk membantu Yong kerana terharu dengan makna hidup yang dilambangkan budak Sabah ini sendiri.  Saya belum pernah berjumpa dengan Yong sehingga hari ini, dan tidak tahu rupa wajahnya.  Tetapi saya merasai perubahan yang berlaku dalam hidup dirinya, melalui apa yang digambarkan ahli keluarganya, kawannya dan peguamnya; malah warkah yang ditulis oleh dirinya.

Yong mempersalahkan dirinya, menyesal dan sudi menanggung tanggungjawab undang-undang.  Beliau telah insaf dan bertaubat.  Dalam kad hari jadi kepada adiknya, Yong berkata, “Pada hari jadimu, aku hadiahkan pengalamanku.  Aku tidak menerima pengajaran daripada mereka yang bijaksana pada masa dahulu , maka terjadilah kegagalanku pada hari ini.”

Yong menerima ajaran Buddha dalam penjara.  Beliau berkongsi ajaran Buddha dengan ahli keluarganya.  Yong berkata kepada ibunya bahawa dirinya akan pergi ke satu tempat yang jauh untuk bertapa.  Setelah abang iparnya diculik dan hilang untuk lebih setahun, Yong cuba mententeramkan kakaknya dengan ajaran Buddha yang dipelajarinya.  “Saya lebih tenang setelah berjumpa dengan Vui Kong,” kakaknya berkata kepada saya.

Abangnya melawatnya setiap minggu, dan Yong menggalakkan agar abangnya memilih jalan sendiri.  Adiknya pula menanggung kepahitan untuk membawa balik habuk mayatnya (jikalau Yong dihukum mati).  Dari kesangsian, keresahan, ketakutan untuk berdepan dengan kamera (media), sehinggalah keberaniannya untuk berdepan dengan segala-galanya pada hari ini, kekuatan adik Yong berasal daripada Vui Kong.

Di depan ahli keluarganya, Vui Kong sentiasa tenang dan optimis.  Yong tidak meresahkan keluarganya, sebaliknya menjadi tunjang sokongan kepada keluarganya.  Kesemua ini diberitahu oleh ahli keluarganya kepada saya.

Peluang kedua kepada Yong

Yong bukan takut mati.  Yong menyedari bahawa hidup manusia sarat dengan dugaan.  Biarpun diampunkan, namun dia tetap berkemungkinan meninggal bila-bila sahaja.  Yong berkata kepada Ravi, jikalau nyawanya diselamatkan, maka dia akan meluangkan masanya untuk menyedarkan orang awam untuk menghindari dadah dan tidak mengulangi jejak langkahnya.

Bukankah kita harus memandang positif terhadap seseorang yang berani untuk mengakui kesilapan, insaf dan bertaubat?

Siapa antara kita yang tidak pernah melakukan kesalahan?  Bukankah kita merayu untuk peluang agar kita insaf dan dimaafkan?  Sememangnya kesalahan yang dilakukan berbeza dari segi tahapnya, namun, pada dasarnya, apakah kita berbeza dengan Vui Kong?

Pada hakikatnya, inilah puncanya yang membawa kita bersama untuk memperjuangkan nasib Vui Kong.  Kejadian Yong Vui Kong sebenarnya mencungkil sesuatu yang terpendam dalam hati kita, yang enggan kita menyentuhinya kadang-kala – kita pernah bersalah, kita pernah insaf, dan kita diberi peluang kedua.

Bukan membantah hukuman mati sepenuhnya

Kemudian, mungkin ada yang akan mempersoalkan, seandainya muncul seorang lagi Yong Vui Kong, apakah kami akan membantunya?  Sebagaimana yang dikatakan Liau Kok Fah, Pengerusi Jawatankuasa Hak Sivil Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor, manusia sememangnya harus berkeras kepala untuk melakukan sesuatu yang baik.  Jikalau wujudnya seorang lagi Yong Vui Kong, yang memerlukan bantuan, mengapa tidak kita menghulurkan tangan?

Kami bukannya pertubuhan untuk membantah hukuman mati, tetapi kami terpanggil untuk melakukan sesuatu untuk Yong Vui Kong.  Kami menyedari bahawa hukuman mati sarat dengan pertikaian, dan kami menghormati pendirian masing-masing.  Namun, kempen “Peluang Kedua Untuk Yang Insaf” ini hanya bertujuan untuk mengutip tandatangan, agar peluang kedua diberikan kepada Yong, setelah meneliti latar belakangnya dan tekadnya untuk menebus kesalahannya.

*Ngeow Chow Ying ialah peguam Yong Vui Kong, juga penyelaras untuk kempen Peluang Kedua Untuk Yang Insaf.  Artikel ini disedut, diterjemah dan disunting oleh Lim Hong Siang dari teks asal, yang disiarkan di MerdekaReview.

About givelife2ndchance

Give Life 2nd Chance is a movement dedicated to work on abolish death penalty in Malaysia.
This entry was posted in Features / Articles and tagged , . Bookmark the permalink.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s